Thursday, August 02, 2012

Minum air secukupnya..

MELAHIRKAN anak adalah satu proses yang sangat menggembirakan, mendebarkan serta penuh mengujakan, apatah lagi bagi ibu yang mampu menyusukan anak sepenuhnya secara eksklusif selama dua tahun.

Namun adakalanya terdapat beberapa halangan yang menyebabkan si ibu tidak mampu menyusukan anak sepenuhnya. Malah ada yang tertekan kerana kurang ilmu mengenai penyusuan susu ibu, tidak kurang pula patah semangat dan hanya melakukannya separuh jalan.

Ada segelintir ibu pula bimbang kehadiran Ramadan akan menyebabkan susu kering atau berkurangan. Ditambah pengambilan makanan kurang berkhasiat menambah tekanan dalam menguruskan penyusuan susu ibu. Dalam hal ini, ilmu mengenai penyusuan sangat penting terutama bagi ibu yang baru melahirkan anak pertama.

Justeru, penting bagi si ibu mengetahui mengenai penyusuan sepanjang Ramadan kerana Islam menggariskan dengan memberi keutamaan kepada ibu untuk berbuka puasa (rukhsah) dalam keadaan tertentu seperti sabda Rasulullah diriwayatkan Anas r.a: “Sesungguhnya Allah s.w.t mengangkat puasa orang bermusafir (boleh berbuka) dan mengurangkan solatnya (qasar) dan diangkat puasa (boleh berbuka) orang yang hamil dan menyusukan anaknya.”

Situasi ini adalah untuk ibu menyusu yang risau susunya berkurangan dan tidak cukup untuk keperluan anak. Jadi, harus untuk ibu menyusu berbuka puasa apabila mendapati susunya berkurangan daripada biasa.

Menurut Siti Nurazlina Noh, ibu kepada tiga cahaya mata serta menyokong penyusuan susu ibu, setiap ibu menyusu perlu tahu rukhsah di atas bagi mengelakkan keadaan terpaksa bercerai susu kerana susu kering pada bulan puasa.

“Dalam hal ini ibu tidak perlu bimbang sekiranya terpaksa berbuka puasa kerana jelas terkandung dalam al-Quran,” katanya.

Selain itu, ibu perlu bersedia menyediakan stok susu yang banyak kerana mereka boleh menjangka kemungkinan besar susu akan berkurangan ketika Ramadan walaupun tidak semua ibu menghadapinya. Dalam hal ini, ibu harus mula menyimpan stok susu untuk kegunaan pada bulan puasa seawal dua hingga tiga bulan sebelumnya, bergantung kepada jenis peti sejuk beku yang mereka miliki.

Bagi mendapatkan maklumat yang jelas mengenai teknik penyusuan serta penyimpanan yang betul, ibu harus mengikuti bengkel mengenai penyusuan yang dapat menambah kefahaman serta maklumat lebih jelas. Tekanan perasaan mungkin boleh melanda apabila mendapati susu mulai berkurangan dan sokongan yang kuat amat penting.

Menurut Siti Nurazlina, ia sesuatu yang normal susu berkurangan ketika berpuasa dan kerana itu, Allah menyediakan kelonggaran (rukhsah). Namun ibu tidak harus terus menganggap susu akan berkurangan apabila berpuasa kerana ia mungkin tidak sama pada setiap orang. Sesetengah ibu memberitahu susu mereka semakin banyak apabila berpuasa, teorinya kerana kurang pengeluaran air daripada kencing dan peluh disebabkan tidak minum air, maka ia memperbanyakkan susu badan.

“Saya sendiri pernah melaluinya dan bagi mengatasi masalah ini, saya mengambil minuman antidehidrasi dan mengamalkan panduan penting ketika berpuasa seperti mengambil makanan berprotein tinggi, penuh nutrisi seperti kurma dan madu lebah. Alhamdulillah susu badan seperti biasa hingga ke waktu berbuka,” katanya yang turut menyusukan ketiga-tiga anaknya selama dua tahun.

Pengambilan makanan dan minuman bersifat diuretik seperti kopi, teh, coklat, bijirin, sayur-sayuran seperti timun, seleri, kubis dan buah-buahan seperti tembikai, limau, herba dan halia perlu dielakkan kerana akan menjadikan individu lebih kerap membuang air kecil dan semakin banyak kehilangan air dalam badan.

“Oleh itu, kenali jenis makanan untuk mengelak mengambil makanan dan minuman berkafein terutama ketika bersahur. Banyakkan pengambilan karbohidrat kompleks dan indeks glisemik yang rendah. Elakkan makanan berminyak dan pedas,” ujarnya.

Dia turut menggalakkan ibu mengambil minuman antidehidrasi agar bertenaga sepanjang hari selain memastikan makan makanan seimbang dan tinggi nutrisi terutama di antara waktu berbuka sehingga sahur.

Dari segi aktiviti mengepam susu, ia harus dilakukan seperti biasa malah mungkin boleh ditambah sesi memandangkan pada waktu rehat menjadi lebih panjang (tanpa makan tengah hari). Ibu boleh melakukan kaedah stimulasi pengepaman untuk merangsang pengeluaran susu supaya lebih banyak keluar.

“Bertenang ketika mengepam dengan membaca ayat suci al-Quran di samping mengisi masa dengan bertadarus. Jika tidak pun, mendengar audio ayat suci al-Quran atau membaca bahan bacaan berilmiah. Ini kerana tekanan atau terlalu memikirkan mengenai pengeluaran susu akan menyebabkan susu susah keluar,” jelasnya.

Penyusuan berkaitan dengan mainan minda seseorang. Oleh itu, sentiasa berfikiran positif dan cuba melakukan aktiviti berfaedah dengan berzikir dan mengaji untuk melupakan rasa letih dan mengantuk.

Dia mengakui kerap diajukan soalan mengenai jenis pam bersesuaian bagi membantu pengeluaran susu. Baginya, membeli pam harus mengikut kemampuan, tidak semestinya pam yang mahal itu baik. Namun ia sangat membantu dari segi mendapatkan jumlah susu yang banyak. Oleh itu, jangan terlalu berkira mendapatkan pam berkualiti.

“Namun sekiranya tidak mampu membeli pam susu berjenama, itu bukan penyebab menjadikan ibu tidak boleh menyusukan dengan sempurna. Bagaimanapun, teknik terbaik adalah mengosongkan payudara dengan cara mengepam dengan tangan (marmet) bagi memastikan payudara benar-benar kosong, sekali gus membanyakkan lagi susu badan,” jelasnya.

Berdasarkan pengalaman sendiri, Siti Nurazlina memberitahu cabaran terbesar dalam penyusuan ketika melahirkan anak pertama, Hafiy Al-Fateh iaitu cucu dan cicit pertama dalam keluarga.

“Memandangkan keluarga saya tidak mendapat pendedahan mengenai penyusuan susu ibu, ia menjadi satu fasa yang amat memberi tekanan, tambahan pula ia pengalaman pertama dan saya tidak pasti mengenai sifat bayi, susu ibu seperti warna dan tekstur najisnya,” katanya.

Namun dengan sokongan kawan-kawan, doktor pakar kanak-kanak yang dilawati serta suami tercinta, dia mendapat kekuatan untuk meneruskan penyusuan eksklusif kepada Hafiy selama dua tahun.

Kemudian apabila mengandung kali kedua ketika anak pertama berusia tujuh bulan, dia meneruskan penyusuan walaupun pelbagai tohmahan diberikan. Akhirnya anak pertama dan kedua dapat disusukan serentak sehinggalah melahirkan anak ketiga.

“Saya dalam fasa melengkapkan penyusuan anak ketiga, Danny Al-Firas yang kini berusia setahun tiga bulan dan baru menamatkan penyusuan abangnya, Fahry Al-Hazim pada usia tiga tahun setengah.

“Kini penyusuan susu ibu tidak lagi sesuatu yang asing. Ibu berkerjaya, walaupun sering ke luar kawasan tetap boleh menyusukan anak secara eksklusif.
Malah saya sendiri melaluinya kerana pekerjaan yang memerlukan saya ke cawangan lain untuk bermesyuarat. Saya amat bangga melihat anak-anak membesar dengan susu badan saya sendiri,” katanya gembira.

Bagi perunding laktasi, Siti Nur Suraya Mohamed Ali, sebulan sebelum Ramadan ibu harus mula menggantikan puasa sebagai latihan menghadapi Ramadan. Mula berlatih tiga hari seminggu dan rasai perbezaannya. Pada hari pertama, mungkin semua ibu sangat lesu tapi hari seterusnya pasti sudah dapat membiasakan diri.

Sebenarnya penyusuan susu ibu dan berpuasa tidak akan mengurangkan jumlah pengeluaran susu kerana komposisi susu ibu itu sendiri akan berubah mengikut nutrien dan makanan yang diambil ketika berpuasa. Dalam tempoh ini, secara automatik badan ibu akan membuat perubahan terhadap metabolik harian untuk memastikan produksi susu tidak terganggu.

“Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri sepanjang menyusukan anak pada bulan Ramadan, jumlah pengeluaran susu tetap sama malah pada hari tertentu bertambah banyak,” jelasnya.

Dalam hal ini, terdapat pelbagai panduan pemakanan yang boleh diikuti iaitu dengan memperbanyakkan pengambilan air iaitu lapan gelas sehari terutama di antara waktu berbuka dan bersahur. Selain itu, ibu digalak melebihkan sesi mengepam iaitu pada waktu pagi sebelum keluar bekerja dan malam sebelum tidur.
Amalan ini hendaklah dilakukan pada satu atau dua bulan sebelum menjelang Ramadan bagi membuat stok penyimpanan susu yang banyak.

“Apa yang penting persediaan sebelum berpuasa dengan mengambil makanan berkhasiat seperti nasi, ayam dan sayur serta melewatkan waktu sahur. Amalan pengambilan kurma pada setiap hari sangat bagus untuk menambah pengeluaran susu serta makan makanan penambah susu ibu seperti sayur lobak putih, halba dan minuman malt selain mengelak mengambil teh dan kopi yang mengandungi kafein,” katanya yang menggalakkan ibu tidur sekejap pada waktu tengah hari selama 10 hingga 15 minit untuk merehatkan badan.

Mengenai teknik mengepam susu, tidak dinafikan ada ibu yang tidak mempunyai pam dan hanya memerah susu menggunakan tangan namun berjaya menyusukan anak selama dua tahun walaupun bekerja. Dalam hal ini proses penyusuan itu sendiri sebenarnya adalah satu seni dan banyak bergantung kepada semangat serta kemahuan diri sendiri.

“Bagi saya, penggunaan pam yang baik serta berkesan dapat menjayakan perjalanan penyusuan susu ibu selama dua tahun tanpa menghadapi banyak masalah,” ujarnya yang juga pemilik Lunatots.

Bercerita pengalaman menyusukan ketiga-tiga anaknya, ujar Suraya, semuanya memberikan pengalaman berbeza. Antara yang manis ialah relaktasi iaitu menyusukan semula anak sulung Ammar Zikry ketika dia berusia dua bulan selepas berhenti menyusukannya.

“Alhamdulillah, saya berjaya menyusukannya penuh sehingga enam bulan dan menyambung sehingga usianya dua tahun lima bulan. Untuk anak kedua (Ammar Dzakwan, 3), saya melahirkannya secara pembedahan dan pengalaman menyusukannya sebaik saja dilahirkan iaitu ketika doktor menjahit semula perut sangat menggembirakan.

“Anak ketiga, Alya Zalikha yang kini berusia setahun, saya berpengalaman mengepam susu seawal empat hari pertama kerana bayi ditahan di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) berikutan keadaannya.

“Saya melihat sendiri bagaimana ‘sikit’ dan bermanfaatnya kolostrum kepada bayi,” katanya yang lebih suka menyimpan susu di dalam plastik penyimpanan susu kerana ia dapat menjimatkan ruang di dalam peti ais berikutan boleh dileperkan.

No comments: