Monday, January 23, 2012

Perihal MATI...!

jakim image
Definasi

Mati adalah bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi yang bermula dari alam kubur. Setiap makhluk ini tidak terlepas dari mati.

Maksud Firman Allah s.w.t :
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat."
( Surah Ali Imran ayat 185 )

Kematian akan mengejar ke mana saja kita berada, ia akan tiba pada bila-bila masa tanpa diundang dan tanpa menerima tempoh.

Maksud Firman Allah s.w.t:
"Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun."
(Surah al-A'raf ayat 34)
(Surah an-Nahl ayat 61)

Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat atau dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat. Kematian itu pasti mencari di mana saja roh berada.

Maksud Firman Allah s.w.t :
"Di mana saja kamu berada, kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh."
(Surah an-Nisaa' ayat 78)

Hukum Ingat Mati

Walau bagaimanapun keadaan yang bergolak dalam pemikiran manusia. Namun Islam menganjur umatnya (sunat) supaya mengingati mati. Samada cara termenung menggambarkan saat-saat kematian itu ditempuhi, menziarahi orang sakit, menziarahi kubur, menghantar jenazah ke kubur dan sebagainya.

Mengingati mati adalah berbeza hukumnya dengan bercita-cita hendak mati, kerana bercita-cita hendak mati yang nekad dengan putus asa, tidak sabar atas penderitaan adalah bukan sifat seorang Islam mukmin dan ditegah oleh syarak ( haram ) kerana nekad sedemikian kadangkala boleh membawa pembunuhan diri.

Adapun memohon dipendekkan umur dengan sebab kezaliman yang berlaku dan tidak ada jalan bagi menghindarinya adalah diharus dengan secara bersandar, seperti kata doanya, bermaksud :
"Ya Allah hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu memberi kebaikan kepadaku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu menjadi kebaikan kepadaku"

Hikmah Ingat Mati

Dengan mengingati mati akan menimbul rasa taqwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala larangannya. Serta bersungguh-sungguh berusaha memperbanyakkan harta kebajikan, dan pelajaran sama ada untuk diri atau keluarganya.

Timbul rasa kasih sayang serta muhabbah sesama manusia, khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat yang kelak disebut orang dengan kebaikan.

Lahir perasaan tanggungjawab hendak membimbing diri dan keluarganya supaya bersungguh-sungguh beramal dan berbuat kebajikan dalam menuntut keredhaan Allah.

No comments: