Friday, November 11, 2011

11 – 12.Nov Keputeraan Al-Sultan Kelantan.

KOTA BHARU,10.Nov – Buat kali pertamanya Sultan Muhammad ke V menyambut Ulang Tahun Keputeraan sebagai Al-Sultan Kelantan tahun ini bermula petang ini dengan Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan semua masjid jajahan.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr.Zainuddin Ibrahim, Esok 11.Nov bermula jam 7.45 pagi akan berlangsungnya Istiadat Meletak Kerja di Istana Balai Besar, di ikuti jam 8.15 pagi Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan di Padang Merdeka.

Beliau berkata demikian di sidang media khas yang diadakan di Istana Balai Besar petang tadi, turut hadir Pengelola Istana Diraja Datuk Ahmad Mahmood dan Ketua Istiadat Istana Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad.

Sementara itu Tuanku Al-Sultan juga akan bersama rakyat jelata mendirikan solat Jumaat di masjid Muhammadi dan rakyat akan disediakan jamuan rakyat selepas itu.

Dr.Zainuddin juga berkata Tuanku akan berangkat ke Dewan Utama Kota Darulnaim bagi Majlis Santapan Kerajaan negeri pada malam esok.

Pada Sabtu, 12.Nov pula Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri diikuti dengan Istiadat Menjujung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia di Istana Balai Besar.

Menurut Dr.Zainuddin lagi seramai 613 orang akan dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang, Pingat-Pingat, Surat Kepujian dan Jaksa Pendamai tahun ini.

Tema sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad ke V tahun ini ialah “ISLAM DIJUNJUNG, RAJA DISANJUNG, RAKYAT DIPAYUNG” dan Cogan Kata bagi perayaan pula “ SEMOGA ALLAH MELINDUNGI TUANKU DUNIA DAN AKHIRAT.



No comments: