Sunday, September 11, 2011

Puasa tapi Tetap GEMUK!

Foto
RISAU... berat badan berlebihan kerana tidak menjaga pemakanan.
RAMAI yang lega apabila berat badan berkurangan ketika berpuasa pada Ramadan. Baju yang dulu ketat kini boleh disarungkan kembali ke tubuh. Sayangnya, baju berkenaan cuma mampu dipakai pada bulan puasa kerana apabila Aidilfitri menjengah, berat badan bertambah lebih banyak daripada sebelum mereka menjalani ibadah puasa.

Bagi sesetengah individu pula, berat badan mereka pada bulan puasa umpama yoyo — sekejap turun dan sekejap naik. Perkara ini menghairankan mereka kerana selama sebulan berpuasa, masih juga tidak kurus atau mendapat berat badan diidamkan.

Mengapa kita tidak mampu menurunkan berat badan walaupun pada bulan puasa, hakikatnya ialah bukan kita seorang yang berdiet, sebaliknya boleh dikatakan menjalani diet beramai-ramai? Menjelaskan situasi itu, Ketua Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Datin Dr Farah Diba Khan berkata, apabila menjalani ibadah puasa pada Ramadan berat badan kita memang berkurangan, tetapi yang kurang bukan lemak, sebaliknya kandungan air dalam tubuh.

Foto

BAHAYA... kurangkan makanan berlemak.

AMALAN... bersenam boleh pecahkan lemak.

SATE... berada dalam kategori kalori sederhana.

SIHAT... lebihkan pengambilan sayuran dan buahan.

Ini disebabkan kita mengurangkan satu sesi hidangan iaitu tidak makan pada waktu siang. Biarpun berbuat demikian, tidak bermakna kita mengurangkan kalori kerana apabila berbuka puasa, ada antara kita tidak mampu mengawal nafsu mata dan nafsu makan, terutama apabila melihat pelbagai jenis juadah menyelerakan ketika singgah ke Bazar Ramadan.

Akhirnya kita makan dengan banyak sebab sudah ‘terbeli’ pelbagai juadah. Tambahan pula, makanan yang dipilih tidak sesuai dan mempunyai kalori tinggi. Ini menjadikan kalori yang sepatutnya kita ambil menjadi lebih dua kali ganda daripada yang kita ambil bukan pada bulan puasa.

“Apabila kita kurang minum air kerana berpuasa, badan kita kekurangan air dan apabila timbang berat badan, kita menjangkakan berat badan turun, tetapi sebenarnya tidak. Berat badan kita meliputi otot, organ dan air. Bukan mudah untuk menyingkirkan lemak dalam badan.

“Manusia boleh bertahan tidak makan seminggu, tetapi air penting untuk tubuh kita. Jika bukan pada bulan puasa, cuba kita tidak makan sehingga jam 3 atau 4 petang, berat badan pasti berkurangan, begitu juga jika kita ke sauna.

“Jika timbang berat badan sebelum dan selepas bersauna, pasti akan mengalami penurunan berat badan sedangkan hakikatnya, kita cuma mengurangkan kandungan air dalam badan.

“Kaedah paling cepat untuk menurunkan berat badan ialah mengurangkan makan. Elak mengambil banyak makanan manis, berlemak dan berminyak. Bersenam membolehkan pembakaran lemak dalam tubuh lebih pantas,” katanya.
Foto

Cabaran menurunkan berat badan lebih besar pada Syawal. Mana tidaknya, nafsu makan tidak dapat dikawal, terutama pada hari raya pertama dan kedua. Lazimnya kita akan makan berulang kali dan kebanyakan juadah hari raya mengandungi kalori tinggi.

Selepas asyik makan ketupat rendang pada hari raya, menyusul pula jemputan rumah terbuka, terutama pada hujung minggu sepanjang Syawal. Pendek kata, daripada bulan puasa hingga ke bulan raya, kita sebenarnya berpesta makan.
Foto
“Sepanjang sebulan berhari raya, biasanya kita mendapat banyak jemputan menghadiri rumah terbuka hingga kadangkala sehingga tiga atau empat undangan sehari.

“Bukan tidak boleh menghadiri semua undangan, tetapi sebaik-baiknya kita rancang menu yang bakal diambil di majlis berkenaan untuk memastikan kita kekalkan amalan mengambil makanan seimbang. Rancang apa hidangan yang patut diambil di majlis rumah terbuka pertama, kedua dan seterusnya.

“Mungkin kita boleh mengambil hidangan pembuka selera di majlis rumah terbuka pertama dan apabila berkunjung di rumah kedua, baru kita mengambil hidangan berat.

“Selepas itu, di rumah ketiga, kita makan makanan ringan, misalnya mengambil salad atau menu berasaskan sayuran,” katanya.

Menurutnya, jika pada Ramadan kita beri alasan tidak bersenam kerana berpuasa, pada Syawal kita sepatutnya kembali melakukan aktiviti menyihatkan tubuh itu.

Bagaimanapun, bukan saja kita meninggalkan bersenam pada bulan puasa, tetapi nampaknya pengecualian itu berlarutan hingga pada Syawal kerana sibuk memenuhi undangan majlis rumah terbuka.

Apapun, kesibukan meraikan Aidilfitri dengan menghadiri rumah terbuka tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak bersenam kerana ia biasanya cuma diadakan pada hujung minggu. Ini kerana kita boleh melakukan aktiviti fizikal pada Isnin hingga Jumaat.

Ada orang berkata, setiap hari dia aktif menjalankan aktiviti harian, termasuk turun naik tangga, dan ia tentu dapat membantu membakar kalori dalam tubuh. Namun, itu cuma teori semata-mata kerana senaman penting untuk kecergasan dan menyihatkan tubuh.

“Kita perlu berjalan, berjoging atau melakukan latihan di gimnasium. Pada bulan puasa, apabila kita tidak makan pada siang hari, sudah tentu kita tiada tenaga dan tidak sesuai untuk melakukan latihan, jadi Syawal masa sesuai untuk kita mengekalkan berat badan. Kita perlu melipatgandakan latihan pada Syawal selepas tidak melakukannya selama sebulan pada Ramadan.

“Latihan sekurang-kurangnya 45 minit hingga satu jam. Bayangkan, satu hidangan yang diambil saja mengandungi banyak kalori. Misalnya, satu rumah terbuka yang kita kunjungi, kita ambil hidangan mengandungi 400 kalori.

“Jika empat rumah terbuka kita makan terlalu banyak hidangan berat, sudah tentu kalori diambil melebihi daripada yang sepatutnya diperlukan tubuh,” katanya.

Dr Farah Diba berkata, antara makanan sihat yang sesuai diambil ketika menghadiri undangan rumah terbuka ialah makanan kurang berminyak dan bergoreng, misalnya rojak buah, asam laksa, laksa Penang, jenis sup dan popia basah.

“Elak mengambil terlalu banyak makanan bersantan dan berlemak. Kebanyakan biskut raya mengandungi mentega, oleh itu kawal pengambilannya dan lebihkan bersenam.

“Sebilangan kita sering memberi alasan tiada masa untuk bersenam. Kesedaran menjaga tubuh dan mengekalkan kesihatan terletak di tangan sendiri,” katanya.

* Sumber : METRO

2 comments:

Sis-Lin said...

Sbb tu kat openhouse lin suka cr sate..hehehehhee

Nik Nurehan said...

kalau ada ;P keke.skali mkn brapa btg. heeee. jgn memalu kang lapa. keke