Wednesday, July 20, 2011

Bunuh Alasan

Alasan adalah satu perkara yang hebat di dunia ini. Semua orang memerlukan alasan, sentiasa mencari alasan dan suka mereka alasan. Manusia memerlukan alasan untuk hidup, mencari alasan untuk mempertahankan diri dan suka mereka alasan untuk lari daripada tanggungjawab.

Bersedialah untuk mempertahankan alasan kita. Alasan kita adalah prinsip kita. Untuk perkara yang berkaitan dengan gaya, berubahlah mengikut trend. Untuk perkara yang berkaitan dengan prinsip, kita wajib mempertahankannya.

Setiap perkara ada baik dan ada buruknya. Begitu juga dengan alasan. Ada alasan baik dan ada alasan buruk. Kita sememangnya tidak boleh mengelakkan diri untuk membuat alasan. Jadi, kita wajib membuat pilihan, sama ada mahu membuat alasan baik ataupun alasan buruk.

Apabila kita menemui kegagalan, kita akan mencari-cari alasan dan sebab yang menggagalkan kita. Terdapat dua kategori orang yang berbeza dalam mencari alasan kegagalan. Kategori pertama mencari alasan untuk mengenal pasti punca kegagalan dan cuba memperbaikinya untuk mencapai kejayaan. Kategori kedua pula mencari alasan supaya mereka boleh berhenti dan tidak perlu lagi bersusah payah mendapatkan sesuatu yang mereka anggap sebagai mustahil.

Kita ada sejuta alasan untuk gagal, tetapi satu alasan sudah cukup untuk berjaya. Alasannya, kita tiada alasan untuk gagal. Kita ada sejuta alasan untuk gagal, tetapi tiada satu pun yang layak menjadi alasan yang terbaik. Jangan berdalih lagi untuk berjaya. Kegagalan bermula dengan alasan dan kejayaan bermula dengan tindakan. Mari bertindak dan menuju kejayaan.

No comments: