Wednesday, May 11, 2011

Wow!! I'm proud of u Amytouch....



PARA peserta sempat bergambar dengan Amy selepas selesai bengkel Amy’s Glitter Touch.

SERI wajah keayuan wanita tentu sekali akan lebih terserlah apabila teknik dan gaya solekan dipadankan dengan sempurna.

Menyedari kepentingan itu, bengkel solekan Amy’s Glitter Touch diadakan di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bengkel dikendalikan jurusolek Mohd. Azmin Noordin atau Amy yang cukup sinonim di Kelantan itu berjaya mengumpul 20 peserta untuk bersama-sama menimba pengalaman dalam bidang solekan.

Ternyata populariti Amy di Kelantan menyebabkan kemahiran solekan lelaki berusia 29 tahun itu turut mendapat perhatian peminat dunia kecantikan di ibu negara.

Amy berkata, dia mula menceburi bidang solekan dengan serius pada tahun 2000.

“Pada mulanya, saya hanya melakukan solekan secara suka-suka semasa majlis perkahwinan tetapi lama-kelamaan kawan-kawan mula membayar apabila disolek.

“Saya melihat terdapat potensi dalam bidang solekan ini dan terus mendalami seni solekan dengan serius,” katanya.

Dia menambah, Internet, buku dan latihan berterusan menjadi teman setia dalam pembelajaran solekan.

Katanya, dia juga menggunakan pengalaman yang ada dalam memberi solekan terbaik kepada pelanggan-pelanggan.

“Apabila kita sudah mempunyai banyak pengalaman secara automatik penggunaan ton warna dan produk akan muncul secara semula jadi,” katanya yang tidak menang tangan mengendalikan bengkel dan tempahan solekan di Kelantan.

Tempah setahun lalu.

AMY turun dari Kelantan untuk mengadakan bengkel solekan kepada peserta di Kuala Lumpur.

Penganjur bengkel berkenaan, Norizzati Syamimi Zainal Abidin, 26, memberitahu, terdapat 20 peserta yang menyertai bengkel tersebut untuk bersama-sama menimba ilmu pengetahuan bersama jurusolek Amy.

“Agak sukar untuk mendapatkan Amy kerana dia mempunyai banyak tempahan dan bengkel yang perlu dikendalikan di Kelantan.

“Saya telah menempah bengkel ini kira-kira satu tahun yang lalu untuk memberi peluang kepada peminat Amy mempelajari seni solekan kerana dia mempunyai laman sosial dan blog sendiri. Ini merupakan julung-julung kali Amy melakukan bengkel di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Sementara itu, peserta bengkel berkenaan, Wan Juliana Wan Abdullah, 26, berkata, terdapat pelbagai jenis gaya dan teknik yang perlu diketahui untuk dipadankan dengan kesesuaian sesuatu keraian.

“Melalui bengkel ini, saya dapat mempelajari mengenai teknik solekan persandingan, makan malam dan sebagainya.

“Ia bukan satu tugas mudah kerana memerlukan kesabaran, ketelitian dan latihan agar dapat memahirkan diri dalam teknik-teknik dipelajari,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Junaidah Azan, 27, pula memberitahu, dia ingin membantu ibunya yang merupakan mak andam dengan mengetahui teknik-teknik terbaru dalam bidang persolekan.

LAMAN blog Amy yang berkongsi mengenai hasil kerja solekannya.

“Sebelum ini tidak terlintas untuk mempelajari solekan tetapi memandang ibu semakin meningkat usia dan memerlukan pembantu dalam bidang andaman saya mempelajari teknik-teknik solekan agar dapat memberi yang terbaik kepada pelanggan kelak.

“Pendedahan diberikan jurusolek Amy yang sarat dengan pelbagai tip juga dapat membantu saya apabila ingin menceburi bidang solekan satu hari nanti,” katanya.

Norasikin Mat Jasin, 21, menambah, dia dapat mempelajari mengenai penggunaan produk dan gabungan warna yang sesuai apabila menyertai bengkel berkenaan.

“Gabungan warna dan penggunaan produk amat penting apabila menggunakan palet pembayang mata, penggaris mata, pemerah pipi, gincu dan banyak lagi,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jurusolek Amy’s Touch, anda boleh melayari laman web http://www.keanggunanmukuserlahkan.blogspot.com/ atau https://www.facebook.com/amytouch


* Time tunang hari tu sudah mdapat khidmat amy. sah2 la time akad nikah/sanding amik amy jgk! tbaekkk, insyaALLAH :)

No comments: