Thursday, November 18, 2010

Raya Korban & Lembu November 2010 (فقه الأضحية )


Niat:

Disyaratkan niat pada korban kerana ia adalah ibadat.
- Diniatkan ketika hendak sembelih, kerana asal niat disertakan pada awal perbuatan. Melainkan sekiranya telah 'ditaayinkan' terlebih dahulu kambing tersebut maka sudah memadai itu sebagai niat.
- Sekiranya ia mewakilkan sembelihan kepada orang lain maka hendaklah niat ketika menyerahkan binatang tersebut kepada orang yang diwakilkan. Atau ketika wakilnya memulakan sembelih.(kerana orang yang diwakilkan itu mengantikan dirinya).

Waktu Perlaksanaan Korban:
Bermula waktu korban setelah terbit matahari pada hari raya Aidil Adha, iaitu pada sepuluh zulhijjah, dan berlalu waktu setelah terbit matahari sekadar dua rakaat sembahyang hari raya dan dua khutbah yang ringkas, jika disembelih sebelumnya maka tidak sah.

Diriwayatkan oleh Bara' bin Azib RA bahawa Rasul SAW bersabda:
'Pertama sekali yang kami mulakan pada hari ini ialah sembahyang hari raya, kemudian kami pulang, kemudian kami menyembelih, sesiapa yang melakukan sedemikian itu ia menepati sunnah kami, dan sesiapa yang sembelih sebelum yang demikian itu maka ia adalah daging yang disedekahkan kepada keluarganya, dan tiada daripadanya sesuatu ganjaran ibadah'.

Berterusan waktu korban hingga akhir hari-hari tasyriq, iaitu selama empat hari.

Riwayat dari Jubair Bin Mut'im: bahawa Rasul SAW bersabda:
'Hari-hari tasyriq itu semuanya waktu sembelih'.

Dan waktu afdholnya dilakukan setelah terbit matahari pada hari raya Aidil Adha, selepas berlalu kadar sembayang sunat hari raya dua rakaat dan dua khutbah. Apabila disembelih selepas waktu ini diberi ganjaran pahala, samada imam telah mengimami sembahyang hari raya atau tidak, atau yang ingin melakukan korban telah sembahyang hari raya atau tidak. Tidak kira samada dia adalah orang bandar atau orang kampung atau orang yang musafir. Atau samada imam telah menyembelih binatang korbannya atau tidak.

Boleh menyembelih korban sepanjang empat hari tersebut sama ada malam atau siang, (tetapi dimakruhkan waktu malam).

Jika disembelih sebelum waktunya tidak sah sembelihannya itu bahkan hanya menjadi daging sembelihan biasa. Apabila berlalu hari tasyriq tetapi belum lagi sembelih, sekiranya binatang yang disembelih itu untuk tujuan ibadah korban maka tidak sah. Kerana ia bukan waktu yang disunatkan korban.

Jika disembelih juga, hanya menjadi semata-mata daging (bukan ibadah).
Sekiranya binatang yang hendak disembelih itu nazar, maka wajib disembelih juga, jadilah ia sebagai 'qodo', (nazar tidak gugur walaupun telah berlalu waktu).

Syarat-Syarat Korban:

1. Haiwan ternakan; Tidak boleh selain darinya, seperti disebut di atas.

2. Umur: Disyaratkan pada binatang korban adalah cukup umur, ia berbeza mengikut jenis:

a. Unta: Umur tidak kurang dari lima tahun dan menjangkau masuk umur enam tahun.
b. Lembu dan kambing biasa معز : Umur tidak kurang dari dua tahun dan menjangkau masuk umur tiga tahun.
c. Kambing biri-biri: Umur tidak kurang dari setahun dan menjangkau masuk umur dua tahun. Kecuali kambing biri-biri yang (أجذع ) matang (dilihat pada gugur gigi-giginya) sebelum setahun.

Berdasarkan umum sabda Rasul SAW:
".'Lakukanlah korban pada kambing biri-biri yang telah matang kerana ia dibolehkan'
Riwayat dari Jabir RA bahawa Rasul SAW bersabda:
'Jangan kamu sembelih melainkan yang cukup umurnya melainkan sekiranya susah untuk kamu mendapatinya maka sembelihlah yang matang daripada kambing biri-biri'.

Memakan Daging Korban:

Terdapat perbezaan diantara korban sunat dan korban yang ditentukan atau yang dinazar.

a. Sekiranya korban sunat:
Boleh makan sebahagian daging korban, qias sepertimana hadyu الهدى (korban yang dilakukan ditanah haram).

Firman Allah Taala:
'Dan unta-unta itu kami jadikan untukmu sebahagian dari syiar agama Allah'.
Allah Taala menjadikannya untuk manusia, jadi terpulang kepada manusia memilih untuk makan atau tidak. Tetapi sunat di makan sebahagian sahaja daripadanya.

- Disunatkan makan satu pertiga dan disedekahkan dua pertiga kepada orang miskin, boleh juga menghadiahkan satu pertiga darinya kepada orang kaya atau selainnya.
- Jika hendak makan lebih banyak maka wajib bersedekah walaupun sedikit kepada orang miskin dengan kadar yang dinamakan sedekah, kerana maksud dari ibadat korban ialah meyenangkan orang miskin.
- Sekiranya telah termakan semuanya maka wajib keatasnya membayar ganti ضمان dengan kadar yang dinamakan sedekah.
- Lebih afdhol ia menyedekah keseluruhan daging korban tersebut kecuali sedikit untuknya sekadar sekali kenyang لقمة untuk mendapat keberkatan. Kerana sedekah itu lebih mendekatkan kepada taqwa, menjauhkan dari mementing diri sendiri.

b. Sekiranya korban nazar atau wajib (dengan sebab 'taayin') ditentukan, maka tidak boleh makan daripadanya.
Sekiranya dimakan juga maka wajib keatasnya 'ضمان' ganti.
Tidak diwajibkan keatasnya menyembelih yang lain tetapi diganti dengan nilai daging kemudian disedekahkannya.
Demikian juga sekiranya orang lain merosakkannya maka ia perlu menggantikannya.

Larangan Menjual Daripada Korban:

Tidak boleh menjual sesuatu pun daripada binatang sembelihan korban. Samada korban nazar atau sunat, termasuk didalamnya daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan selainnya. Tidak boleh menjadikan kulit atau selainnya sebagai upah kepada tukang sembelih, tetapi boleh disedekahkan kepadanya.

Riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Rasul SAW bersabda:
'Sesiapa yang menjual kulit korban maka tiadalah ibadah korban baginya'.

-Boleh memberi upah kepada tukang sembelih yang miskin kemudian disedekahkan kepadanya daging korban atau kulit, ia umpama memberikan kepada fakir miskin yang lain.

* Gamba : Dari N95 Incik Tunangan

No comments: