Sunday, November 14, 2010

JAKIM: Minyak sapi QBB disahkan halal, tiada keraguan

JAKIM: Minyak sapi QBB disahkan halal, tiada keraguan

Wakil QBB, Philip Chang menerima Sijil Pengesahan Halal JAKIM daripada Saimah Mukhtar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Produk Minyak Sapi QBB sekali lagi disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berikutan penyerahan Sijil Pengesahan Halal JAKIM di sini baru-baru ini.

Pengarah Q.B.B. (Pte.) Ltd. (Q.B.B.), Lim Peck Bin berkata: "Penyerahan Sijil JAKIM ini mengesahkan pendirian kami selama ini - produk Minyak Sapi QBB tidak mengandungi "unsur babi atau terbitannya" dan tidak perlu timbul sebarang keraguan tentang status Halal produk QBB ini."

Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal, JAKIM, Saimah Mukhtar, pihaknya telah mendapat kerjasama pihak Q.B.B. untuk memeriksa semula status halalnya, produk minyak sapi ini dengan lebih terperinci.

Berikutan keshahihan status halal produk ini diperkatakan oleh pelbagai pihak semenjak pertengahan tahun ini, JAKIM telah mengambil langkah proaktif dengan melakukan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Di antaranya termasuk menjalankan pemeriksaan ke atas punca ramuan utama minyak sapi ini diproses iaitu Lemak Susu Anhidrat (Anhydrous Milk-Fat)(AMF) di Australia dan juga ke atas kilang pembungkusannya di Malaysia, QBI Packaging Sdn. Bhd.

''Setelah menjalankan proses pemeriksaan yang ketat, kami mendapati produk Minyak Sapi QBB mengikut piawaian dan prosedur pensijilan halal Malaysia.

Dengan pemberian Sijil Pengesahan Halal (SPH) ini, Saimah berharap tiada lagi pihak yang mempertikaikan status halal minyak sapi QBB.

JAKIM telah menarik balik Sijil Pengesahan Halal (SPH) QBB pada 26 Ogos 2010, berikutan tuduhan bahawa produk berkenaan mengandungi unsur babi.

Lanjutan itu, JAKIM telah melakukan penyiasatan sejak awal tahun 2010. Berdasarkan laporan analisis terbaharu Jabatan Kimia, JAKIM menerima pengesahan bahawa unsur babi atau terbitannya tidak dikesan di dalam produk berkenaan.

Menurut Lim, tuduhan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggung jawab, telah mengelirukan para pengguna dan memberi persepsi negatif terhadap produk QBB.

Katanya: "Produk Minyak Sapi QBB berada di pasaran sejak lebih 50 tahun lalu dan ia amat popular di kalangan pengguna Islam dan bukan Islam. QBB amat prihatin terhadap perasaan, jangkaan serta keperluan para pengguna Islam.

''Kami sentiasa dan akan terus mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan produk-produk kami halal,'' kata beliau.

http://http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_05.htm

2 comments:

Cik Liyana said...

yes! akhirnya..susah nak buat kuih tanpa qbb..rasa xsama..huhuhu

Nik Nurehan said...

yeap! QBB tiada tandingan. hehe.
alhamdullilah, pasni leh la kita start guna QBB kembali. wt nsik briani utk raya haji. yeay!