Wednesday, May 05, 2010

Kit jenazah Dunia Kifayah

JASRI (tengah) dan barisan pengurusan Dunia Kifayah memperkenalkan kit lengkap pengurusan jenazah.


DALAM mengharungi kehidupan seharian kita tidak dapat menduga apa yang akan berlaku pada masa hadapan termasuklah soal kematian.

Kematian akan datang tanpa memberi sebarang amaran sehingga kebiasaannya membuatkan kita tidak bersedia dan sukar mencari barangan pengurusan jenazah pada saat-saat akhir.

Menyedari kepentingan itu, sebuah syarikat bumiputera Dunia Kifayah yang ditubuhkan pada September 2009 membangunkan kit lengkap pengurusan jenazah bertujuan untuk memudahkan umat Islam dalam menguruskan jenazah dengan lebih seragam, tertib dan sistematik.

Pengurus Besar Dunia Kifayah, Jasri Jamil, berkata, pengenalan produk keluaran syarikatnya diharap dapat membantu umat Islam memenuhi keperluan dan penyeragaman pengurusan jenazah sebagai satu tuntutan fardu kifayah.


ANTARA peralatan yang terdapat dalam kit lengkap pengurusan jenazah keluaran Dunia Kifayah.


"Produk ini juga dikeluarkan agar dapat memupuk kesedaran khususnya di kalangan generasi muda. Asalkan kit pengurusan jenazah ini ada sesiapa sahaja berupaya untuk menguruskan jenazah tidak kira di mana mereka berada.

"Melalui produk ini, umat Islam dapat mengelak kelewatan untuk menguruskan jenazah kerana tidak mempunyai bekalan mencukupi apabila berlakunya kematian," katanya.

Kit lengkap pengurusan jenazah yang diperkenalkan Dunia Kifayah mengandungi 20 peralatan utama meliputi peralatan dan bahan asas untuk pengurusan jenazah seorang Islam.

Ujar Jasri, peralatan tersebut merangkumi tiga helai kain kapan, kain kemban, tudung, baju, kain murung (enam set), sarung bantal (empat helai), tali (lima helai), kapas dua gulung, air mawar, akar sintok, putik kapas (15 batang), celak, kapur barus, minyak atar, sabun, serbuk cendana, apron plastik, plastik sampah, sarung tangan getah dan topeng muka.

Katanya, produk itu merupakan kit pengurusan jenazah yang paling lengkap boleh didapati di pasaran. Jasri menegaskan produk kelengkapan itu diperkenalkan bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan kerana jika diamati tuntutan fardu kifayah sebelum ini sering dipandang ringan oleh masyarakat Islam walaupun ia perkara wajib.

Katanya, melalui pengalaman sendiri, memang sukar mencari kelengkapan kerana tidak semua kedai menjualnya dan perkara itu merupakan salah satu faktor kit lengkap pengurusan jenazah dibangunkan syarikatnya.

PERALATAN pengurusan jenazah yang lengkap mempercepatkan urusan pengebumian dijalankan. - Gambar hiasan


"Produk kit pengurusan jenazah ini telah dipasarkan sekitar Johor dan kami menyasarkan untuk memperluas lagi pasaran sehingga seluruh negara.

"Kita juga sedang dalam perancangan untuk memasarkan produk ini ke luar negara seperti di Indonesia, Singapura dan Brunei," katanya lagi.


Petikan dari Kosmo! Online

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

No comments: