Saturday, March 06, 2010

Tragedi Cinta Sejenis, Teman Wanita Ditikam

SHAFINAZ melihat gambar adiknya, Suhana yang mati ditikam.

ALOR STAR: Akibat cinta terlarang, seorang jurujual wanita maut di tangan rakan sekerjanya yang juga seorang wanita selepas ditikam tujuh kali dengan sebilah pisau pemotong sayur di perut dipercayai bermotifkan cemburu dalam kejadian di belakang Lorong Kristal, Taman Kristal di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, Suhana Mohd Shariff, 26, dari Kota Tanah di sini, ditemui terbaring di belakang Perodua Viva putih miliknya, manakala suspek berusia 33 tahun cedera parah di dada dan tangan kiri selepas menikam diri sendiri.

Difahamkan, seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Mohd Faizal yang ketika itu membuat rondaan di lorong berkenaan menemui kedua-dua wanita terbaring menahan kesakitan berhampiran kereta berkenaan.

Pengawal terbabit segera menghubungi ambulans dan polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, manakala ‘teman lelakinya’ ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kerana kecederaan serius di dada.


Difahamkan, kedua-dua wanita bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai menjual alat tulis berhampiran Terminal Bas dan Teksi Shahab Perdana di sini dan berkawan sejak dua tahun lalu.

Sebelum kejadian, mereka dipercayai bertengkar dalam kereta berkenaan sebelum suspek menikam mangsa tujuh kali di perutnya.


Sejurus melihat mangsa terbaring kesakitan, suspek terus mengelar pergelangan tangan kirinya sendiri sebelum menikam dadanya menggunakan pisau sama.


Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, berkata ketika pasukan polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua wanita sudah dihantar ke HSB untuk rawatan.

Bagaimanapun, katanya Suhana disahkan meninggal dunia pada jam 11.35 malam di HSB, manakala suspek masih tidak sedarkan diri dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa ialah teman rapat suspek berdasarkan beberapa bahan bukti termasuk gambar dan hadiah yang ditemui dalam keretanya selain mendapati nombor pendaftaran kereta Suhana iaitu 8477 juga mungkin disesuaikan dengan tahun kelahiran mereka,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai tidak puas hati dengan mangsa dan terus menikamnya tujuh kali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 17.8 sentimeter.

“Selepas melihat mangsa dalam keadaan separuh sedar akibat tikaman itu, suspek terus mengelar pergelangan tangan kirinya beberapa kali dalam cubaan membunuh diri,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, suspek yang melihat dirinya tidak cedera terus menikam dadanya beberapa kali sebelum rebah di belakang kereta milik Suhana.

Abdul Ghafar berkata, menurut saksi kejadian, kedua-dua wanita berada di luar kereta berkenaan dalam keadaan parah dan polis percaya pergaduhan bermula dari dalam kereta kerana ada kesan darah di tempat duduk pemandu serta penumpang hadapan.

“Mangsa keluar dari keretanya untuk menyelamatkan diri manakala suspek mengekori dari belakang. “Bagaimanapun, kedua-duanya ditemui terbaring di belakang kereta berikutan kecederaan yang dialami.

“Kami turut menemui sebilah pisau yang digunakan suspek di kawasan sawah berhampiran tempat kejadian,” katanya sambil menyatakan polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berhampiran bagi membantu siasatan.

Menurutnya, polis sedang menunggu keputusan bedah siasat terhadap mayat mangsa yang berasal dari Lorong Kenanga di sini, manakala suspek yang tinggal di Seberang Nyonya di sini, belum direkodkan kenyataan berikutan masih tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

apa nak jadi dengan negaraku...

hari-hari ada kes rompak...hari-hari ada kes buang bayi...hari-hari ada kes bunuh...adeh..

1 comment:

Yatie said...

Semoga kita semua dilindungi dan dijauhkan oleh Allah daripada sebarang musibah.